Rabu, 4 November 2009

Hukum menyertai pertandingan ayam serama.

Dalam kesibukan kita semua menyertai pertandingan haiwan ini khususnya pertandingan ayam serama yang sama-sama kita minati ini, eloklah kita meneliti pandangan hukum Islam mengenainya agar kita tidak tergelincir ke dalam lurah yang dimurkai Allah.

Terdapat beberapa persoalan yang harus diberi perhatian kita sama ada sebagai penganjur dan peserta.


Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan peserta atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi tertentu?

Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta pertandingan, maka ia diharuskan oleh syarak kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Sekiranya hadiah itu diberi hasil daripada wang kutipan penyertaan para peserta pertandingan maka hukumnya adalah haram. Ini kerana ia dikategorikan sebagai satu bentuk perjudian. Mereka yang terlibat adalah berdosa. Hadiah tersebut tidak boleh dimanfaatkan untuk makan, minum atau pakaian kita.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)

Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya) .

Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Dalam pertandingan ayam serama atau sebagainya, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."

Maksudnya penganjur pertandingan ayam serama ini menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan atau mengenakan sedikit sahaja bayaran sekadar untuk digunakan bagi membayar sewa tempat dan peralatan yang perlu, bukan untuk hadiah pertandingan.

Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.

Kesimpulannya, pertandingan ayam serama ini hukumnya adalah harus, tidak haram, sekiranya dapat memenuhi kriteria-kriteria berikut:

1. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
2. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
3. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
4. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua. Kesedaran yang tinggi tentang hukum hakam Islam terutama dikalangan penganjur pertandingan amatlah perlu untuk untuk mengelakkan peserta atau peminat pertandingan ayam serama ini, berdosa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan