Selasa, 15 Disember 2009

Koleksi Ayam Serama2u untuk tontonan semua peminat. Boleh tengok sahaja tau! Saya tak jual! Saya bela sekadar hobi sahaja. Untuk main petang-petang. 


ini dia bakal pengegar arena serama!

macam mane! Ok tak ayam serama2u ni.....


kat bawah ni...koleksi anak-anak muda....lihatlah,





kat bawah ni..sebahagian induk saya...


ni..mak datin koleksi saya. 


kat bawah nilah datuk panglima ABU!


di musim tengkujuh ni...sekor lagi datuk panglima saya telah pulang ke rahmatullah...Uhuk..uhuk..

Rabu, 4 November 2009

Hukum menyertai pertandingan ayam serama.

Dalam kesibukan kita semua menyertai pertandingan haiwan ini khususnya pertandingan ayam serama yang sama-sama kita minati ini, eloklah kita meneliti pandangan hukum Islam mengenainya agar kita tidak tergelincir ke dalam lurah yang dimurkai Allah.

Terdapat beberapa persoalan yang harus diberi perhatian kita sama ada sebagai penganjur dan peserta.


Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan peserta atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi tertentu?

Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta pertandingan, maka ia diharuskan oleh syarak kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Sekiranya hadiah itu diberi hasil daripada wang kutipan penyertaan para peserta pertandingan maka hukumnya adalah haram. Ini kerana ia dikategorikan sebagai satu bentuk perjudian. Mereka yang terlibat adalah berdosa. Hadiah tersebut tidak boleh dimanfaatkan untuk makan, minum atau pakaian kita.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)

Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya) .

Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Dalam pertandingan ayam serama atau sebagainya, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."

Maksudnya penganjur pertandingan ayam serama ini menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan atau mengenakan sedikit sahaja bayaran sekadar untuk digunakan bagi membayar sewa tempat dan peralatan yang perlu, bukan untuk hadiah pertandingan.

Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.

Kesimpulannya, pertandingan ayam serama ini hukumnya adalah harus, tidak haram, sekiranya dapat memenuhi kriteria-kriteria berikut:

1. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
2. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
3. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
4. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua. Kesedaran yang tinggi tentang hukum hakam Islam terutama dikalangan penganjur pertandingan amatlah perlu untuk untuk mengelakkan peserta atau peminat pertandingan ayam serama ini, berdosa.

Hukum memelihara dan mengurung ayam serama.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahaiMuhammad! Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya (al-A'raf: 32).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8).

Ayat ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan haiwan,tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia, maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada penggunaan yang salah dan sebagainya.

Memang penggunaan perhiasan ini berada pada peringkat thasiniyyat(mewah). Barang-barang mewah hanya boleh dipakai apabila sempurna keperluan yang wajib dimiliki. Sebagai contoh, memiliki kediaman untuk anak-anak dan keluarga adalah wajib dan termasuk dalam kategori daruriyyat (kepentingan). Peralatan-peralatan mewah hanya boleh dimiliki setelah memperoleh kediaman dengan sempurna.

Menikmati keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.

Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki, sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.
Menyekat kebebasan burung dan ikan emas dalam sangkar tidak harus menjadi alasan pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam pasu dan bekas-bekas kecil.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan serbannya yang tidak cantik dilihat,memakai kain tebal di sebelah dalam dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang melihatnya (Jami' al-Ahkam, 7/97).


Berpandukan mukadimah ini, kita dapat menarik kesimpulan, iaituIslam tidak menentang sebarang perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara perhiasan termasuklah ayam serama, burungpipit dan ikan emas yang dibela untuk hiasan rumah.

Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syaratberikut:

1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu bergantung kepada niat.
2. Jangan lekakan tanggungjawab kita kepada Allah seperti solat, tanggungjawab kepada keluarga, disebabkan oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.
3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.

Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibnMalik r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh AbuUmair ke mana perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam peliharaannya.

Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana sembelih untuk dimakan sahaja.

Ibn Aqil al-Hanbali melarang menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan terhadapnya. Beliau mengambil dalilnyadaripada hadis Abu al-Dard' r.a. yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu membuat aduan kepada Allah, keranamanusia menyeksanya semasa di dunia dahulu.

Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan minum.Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang cukup, nescaya harus dibelanya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan keselamatannya. Wallah a'lam.

Selasa, 20 Oktober 2009

Cara mengenali ayam yang berpenyakit

1. Tiada selera untuk makan makanan yang anda beri.

2. Sentiasa termonyok dan tidak aktif.

3. Muka menjadi Pucat.

4. Keluar hingus dari hidung.

5. Muka menjadi bengkak.

6. Balung menjadi berkudis.

7. Najis berwarna hijau.

8. Gangguan saraf seperti sayap lemah, kaki lemah, kepala berputar dan sebagainya.

Jika anda melihat tanda-tanda ini, langkah segera hendaklah diambil bagi menyelamatkan ayam anda. Jika tidak, anda pasti berputih mata. uhuk!!!!!!

Breeding ayam serama

4 CARA BREDDING AYAM SERAMA


1. PUREBREEDING

Mengahwinkan Ayam Serama dari baka yang sama atau susur galur yang sama. Teknik ini diamalkan apabila kita mengetahui yang Ayam Serama dari baka ini sentiasa menjadi juara. Selalunya cara ini digunakan bagi peminat yang betul - betul fanatik dengan sesuatu baka tersebut. Contohnya: Ayam Serama dari Baka (A) dikawinkan hanya dengan Ayam Serama dari Baka (A) saja.

2. INBREEDING

Mengahwinkan Ayam Serama dari Ayam Serama yang mempunyai pertalian darah. Cara ini dilakukan apabila kita mahukan ciri - ciri yang tersembunyi dari baka tersebut. Cara ini memerlukan displin yang tinggi kerana memerlukan inbreeding terarah dan terkawal. Contohnya : Seekor Ayam Serama Jantan Baka (A) dikawinkan dengan Induk yang dipercayai/ketahui mempunyai darah Baka (A). Cara ini memerlukan sekurang - kurangnya 3 - 4 tahun untuk mengeluarkan semula darah Baka Hussin 2000 itu dengan cara mengawinkan semula diantara bapak dengan anak, cucu & cicit.

3. CROSSBREEDING

Mengahwinkan Ayam Serama dari 2 jenis baka yang berdarah murni tanpa pertalian darah. Dengan cara ini diharapkan lahirlah Ayam Serama yang unggul dari kedua dua belah pihak. Contohnya : Ayam Serama Baka (A) dikawinkan dengan Ayam Serama Baka (B).

4. UPGRADING

Mengahwinkan Ayam Sera dari baka unggul dengan baka biasa-biasa sahaja yang dilihat bergaya. Cara ini biasanya dilakukan oleh mereka-mereka yang yakin dengan baka sendiri. Setiap teknik yang digunakan mestilah di dalam keadaan dikawal maksudnya setiap anak serama yang dihasilkan mestilah dikahwinkan semula dengan bapak atau induknya semula bagi mendapatkan generasi yang lebih cantik dan hebat bergaya. Lagi banyak tingkatan generasinya lagi hebat seseekor Ayam Serama tersebut.

Design reban serama

Perkara pertama yang perlu anda beri perhatian sebelum menternak ayam serama ini ialah reban. Pastikan reban disedikan terlebih dahulu sebelum membawa balik ayam ke rumah anda.

Persediaan awal reban, boleh memberi keselesaan dan kerehatan kepada ayam anda.Terutama apabila kita membawa balik daripada destinasi yang jauh dari rumah kita.

Reban yang disediakan perlulah selamat daripada sebarang gangguan musuh ayam dan telah dilengkapi dengan aksesori-aksesori yang diperlukan oleh ayam tersebut untuk hidup dengan baik seperti bekas makanan, bekas air, tempat bertenggek, kotak bertelur jika induk [ insya'allah saya akan paparkan cara-cara membuat aksesori ini di masa akan datang]

masalah besar yang dihadapi oleh penternak serama ini ketika hendak menyediakan reban ialah KOS!. Tetapi sebenarnya perkara ini mudah jika kita dapat memahami bahawa ayam serama ini, tidak memerlukan design reban yang tertentu. Cantik atau tidak, tidak diperlukan oleh ayam serama. Cantik untuk mata kita sahaja. Jika anda mempunyai kewangan yang besar, buatlah cantik-cantik. supaya sedap mata memandang. Tetapi ingat...buatlah reban mengikut bajet yang anda mampu...dan buatlah saiz reban mengikut jumlah ayam yang anda ternak!

Di sini saya sertakan beberapa design reban serama sebagai panduan anda. Yang standard murah, harga mampu buat, yang mahal dan yang kreatif.








Ciri-ciri ayam serama yang hebat

PENILAIAN AYAM SERAMA

• Jenis - Ciri utama ialah kepala melunjur ke belakang, bahagian belakang pendek, kepak menegak dan ekor panjang, penuh dan apabila berkembang, tidak menyentuh balung. Kedudukan tengah mata sama dengan kedudukan tengah kaki ketika berdiri.

• Perwatakan - Kelihatan gagah, berani dan yakin. Lagak suka menonjol seperti berkokok dan suka berdiri.

• Ekor - Saiz besar, menegak dan tinggi. Bulu pelepah ekor utama panjang, melentik di penghujung dan berkembang seperti bentuk V. Lawi (ayam jantan) menegak 90 darjah dan sedikit melentik ke belakang di penghujung.

• Kepak - Ketika berdiri, kepak ayam dalam posisi menegak tetapi sedikit menghala ke belakang. Hujung kepak bersentuhan sedikit dengan lantai.

• Badan - Tegap dan bulat. Dada ayam lebih luas dari bahagian belakang apabila dilihat dari atas. Dari tepi, badan berbentuk V. Belakang ayam pendek dan lebar di bahagian bahu.

• Kaki - Tidak begitu rapat dan selari. Panjang sederhana dan seimbang dengan saiz kepak. Paha berotot dan sederhana panjang. Taji di bahagian tengah betis, keras, kecil dan menghala ke belakang kaki.

Memilih baka ayam serama yang baik

Bagi saya memilih ayam jantan untuk dijadikan sebagai pembaka adalah satu perkara yang subjektif. Jika anda mahu mencari baka ayam serama sekadar untuk dipelihara disekitar rumah bagi menjamin sisa makanan daripada dapur rumah anda tidak terbuang begitu sahaja, maka carilah mana-mana ayam serama yang anda tertarik sama ada tertarik dengan lagak ayam itu atau tertarik dengan warna ayam itu,atau lain-lain sifat yang ada pada ayam tersebut yang menarik perhatian anda.

Tetapi jika anda ingin memuaskan hati anda atau menternak dalam skala yang banyak. Saya syorkan anda mencari baka yang terbaik! Baka yang telah terkenal. Baka JUARA! walaupun mahal sedikit kosnya, ianya akan memberi pulangan yang baik di kemudian hari.

Pada pangamatan saya, penternak-penternak yang berjaya, mereka menggunakan kaedah persamaan baka atau dalam kata lain, sijantan dan betina mempunyai hubungan baka yang sama. Hubungan baka yang sama dimaksudkan disini ialah jantan dan betina ada baka yang sama. Melalui kaedah ini, anak-anak ayam serama yang cantik dan menarik
dapat dilahirkan.

Walaubagaimanapun apa yang disarankan ini adalah satu kaedah sahaja daripada pelbagai kaedah yang ada. Barangkali ada lagi kaedah yang lain digunakan oleh penternak tanpa memberitahu kepada ANDA. INI ADALAH SATU RAHSIA MEREKA YANG KITA HARUS SELIDI. Apa yang pentingnya, kita berusaha tanpa jemu.Harapan saya kepada peminat serama janganlah sekali-kali mudah berputus asa sekiranya usaha pertama atau kedua gagal kerana kejayaan datang dari kegagalan. Insya'Allah.

kategori ayam serama

Orang selalu memperkatakan tentang AYAM SERAMA ini berpandukan kepada kategori seperti SERAMA "A" , "B" maupun "C". Ramai yang terkeliru dan ini banyak diambil kesempatan oleh para penjual SERAMA yang tidak AMANAH yang mengakui bahawa AYAM SERAMA yang mereka jual adalah dari kategori terbaik samada SERAMA "A" atau "B".

Sebenarnya kategori SERAMA "A", "B" mahupun "Z" sekalipun bukanlah satu kaedah yang tepat untuk mendefinasikan kategori AYAM SERAMA tersebut. Pembahagian kategori "A" atau "B" ini digunakan hanyalah sewaktu didalam satu satu pertandingan saja. Ianya digunakan untuk membezakan berat badan AYAM SERAMA itu saja. Malah kalau AYAM KAPAN itu sendiri pun sekiranya di "diet" kan akan melayakkannya dimasukkan kedalam kategori SERAMA "A" dimana berat yang kurang dari 360 gram. Sebab itulah kalau kita perhatikan disatu satu pertandingan tahap keupayaan AYAM SERAMA yang menduduki tempat pertama dengan AYAM SERAMA yang mendapat markah terendah adalah amat jauh sekali, lebih lebih lagi kalau pertandingan yang diadakan disebelah pantai barat ini. Ini semua berlaku kerana terdapatnya tuan punya AYAM SERAMA yang bukan AYAM SERAMA sebenar atau TULIN turut serta dan disebabkan berat ayam mereka kurang 360 gram maka dengan sendirinya ayam tersebut layak memasuki kategori SERAMA "A".

Cara-cara mengurus anak ayam yang baru lahir.

Pengetahuan tentang cara-cara mengurus anak ayam yang baru menetas ini sangat penting untuk diberi perhatian oleh anda sebagai penternak ayam serama. Perkara ini sangat mustahak bagi mengekalkan peratus hidup anak ayam ini berada pada tahap yang tinggi.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil perhatian oleh anda:

1. Pastikan tempat anak-anak ayam itu berada sentiasa kering dan bersih.Alaslah lantai kotak dengan 3 atau 4 helai kertas surat khabar.Dan tukarkan kertas itu setiap hari.

2. Taburkan sedikit makanan seperti sekoi atau jagung halus, disekitar anak ayam itu berada.

3. Sentiasa memeriksa najis di buntut anak ayam tersebut. Jika ada najis yang melekat, hendaklah dibuang dengan segera. Jika dibiarkan ianya boleh menyekat aliran najis anak ayam tersebut. Jika ini berlaku, ianya boleh membawa kematian kepada anak ayam tersebut.

4. Sentiasa menyediakan air yang bersih. Selalulah membersihkan bekas minum tersebut.

5. Pastikan tempat tersebut, kalis cuaca sejuk terutama di waktu malam. lni kerana anak-anak ayam yang baru lahir tidak tahan dengan cuaca sejuk. lni boleh menyebabkan kematian kepada anak ayam tersebut.

6. Jangan letak induk-induk yang mempunyai anak di tempat yang sama. Letakkan di tempat yang berlainan. lni dapat mengelakkan daripada berlaku pergaduhan di antara induk yang boleh membawa kematian kepada anak-anak ayam yang kecil.

7. Pastikan tempat anak-anak ayam itu, selamat daripada ganggunan musuh seperti kucing, biawak, tikus, musang, dan lain-lain.

8. Manakala anak ayam yang ditetaskan melalui kaedah inkubator pula akan dibiarkan selama 48 jam untuk mengeringkan bulunya. Kemudian ia boleh dipindahkan ke dalam kotak kayu khusus yang dilengkapi dengan mentol berkuasa 15 watts dan aksesori lainnya.

Mentol hendaklah digantung dua inci dari paras tinggi anak ayam. Ini untuk mengelakkan pancaran cahaya secara langsung kepada matanya. Pancaran cahaya yang berlebihan akan mengakibatkan stress mata dan masalah-masalah lain kepada anak ayam. Punca panas atau haba selalunya diletakkan di salah satu sudut kotak.

Pengenalan tentang salsilah ayam serama

Ayam Serama yang ada pada hari ini adalah hasil kacukan dari pelbagai spesis terutama burung seperti burung hutan, ayam kerdil Thai dan juga Bantan. Kecantikan fizikal ayam ini telah menawan pelbagai lapisan masyarakat. Selain menghiburkan hati pemiliknya, ia juga sangat mudah dan murah untuk dipelihara.

Sering dikatakan bahawa ayam serama ini tidak dapat dinilai dengan wang. Ada sebuah kisah yang menceritakan bahawa terdapat seorang penggemar yang menolak tawaran untuk menjual ayam miliknya itu dengan cek kosong. Namun, tawaran tersebut ditolak. Anak ayam dari baka juara boleh dijual pada harga RM1,000 hingga RM2,000 seekor manakala anak ayam yang agak dewasa di antara RM2,000 hingga RM10,000.

Harga pasaran bagi ayam bergelar juara pula berkisar antara RM10,000 hingga RM80,000. Bagaimanapun, tidak ada harga yang tetap dalam urusan jual beli. Semuanya bergantung kepada rundingan antara pembeli dan pemilik ayam tersebut.

Ayam ini juga dapat menjadi binatang peliharaan kesayangan seluruh ahli keluarga.

Kategori umur bagi ayam serama yang sihat ialah seperti berikut:

* Grade 3A beratnya dibawah 250gm

* Grade 1A beratnya dibawah 350gm

* Grade B beratnya dibawah 500gm

Diharapkan anda tidak keliru dengan baka ayam kecil yang lain seperti Ayam Kapan, Ayam Katik dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, harga ayam ini berkait rapat dengan kategori beratnya. Ini kerana lebih kecil ayam tersebut, maka lebih sukar untuk melakukan proses kacukannya. Disamping itu, bilangannya juga sedikit. Berdasarkan faktor-faktor itulah yang menyebabkan harganya menjadi mahal.

Kami menjangkakan dengan peredaran masa dan penggunaan hasil penyelidikan dan pengembangan (R & D) terhadap kacukan ayam serta sokongan pihak korporat dan Kerajaan, maka masa depan ayam serama akan menjadi lebih menarik dan cerah.

Kami juga berharap agar ayam yang memiliki keindahan yang mengkagunkan ini dapat dihasilkan dengan lebih banyak dan murah agar ia mampu dimiliki oleh semua orang. Potensi sebagai haiwan peliharaan keluarga di negara ini juga semakin cerah.