Rabu, 4 November 2009

Hukum menyertai pertandingan ayam serama.

Dalam kesibukan kita semua menyertai pertandingan haiwan ini khususnya pertandingan ayam serama yang sama-sama kita minati ini, eloklah kita meneliti pandangan hukum Islam mengenainya agar kita tidak tergelincir ke dalam lurah yang dimurkai Allah.

Terdapat beberapa persoalan yang harus diberi perhatian kita sama ada sebagai penganjur dan peserta.


Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan peserta atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi tertentu?

Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta pertandingan, maka ia diharuskan oleh syarak kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Sekiranya hadiah itu diberi hasil daripada wang kutipan penyertaan para peserta pertandingan maka hukumnya adalah haram. Ini kerana ia dikategorikan sebagai satu bentuk perjudian. Mereka yang terlibat adalah berdosa. Hadiah tersebut tidak boleh dimanfaatkan untuk makan, minum atau pakaian kita.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)

Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya) .

Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Dalam pertandingan ayam serama atau sebagainya, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."

Maksudnya penganjur pertandingan ayam serama ini menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan atau mengenakan sedikit sahaja bayaran sekadar untuk digunakan bagi membayar sewa tempat dan peralatan yang perlu, bukan untuk hadiah pertandingan.

Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.

Kesimpulannya, pertandingan ayam serama ini hukumnya adalah harus, tidak haram, sekiranya dapat memenuhi kriteria-kriteria berikut:

1. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
2. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
3. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
4. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada kita semua. Kesedaran yang tinggi tentang hukum hakam Islam terutama dikalangan penganjur pertandingan amatlah perlu untuk untuk mengelakkan peserta atau peminat pertandingan ayam serama ini, berdosa.

Hukum memelihara dan mengurung ayam serama.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah wahaiMuhammad! Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkannya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakannya (al-A'raf: 32).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kuda, baghal dan keledai dijadikan untuk kamu menungganginya dan sebagai perhiasaan (al-Nahl: ayat 8).

Ayat ini memberi maklum bahawa Allah s.w.t. menjadikan haiwan,tumbuh-tumbuhan sebagai perhiasaan yang harus dinikmati manusia, maka berhias dengan barang-barang ini semua adalah harus dalam apa jua keadaan sekalipun. Kalaupun barang-barang hiasan ini dilarang, maka larangan itu disebabkan pembaziran, kesombongan yang lahir daripada penggunaan yang salah dan sebagainya.

Memang penggunaan perhiasan ini berada pada peringkat thasiniyyat(mewah). Barang-barang mewah hanya boleh dipakai apabila sempurna keperluan yang wajib dimiliki. Sebagai contoh, memiliki kediaman untuk anak-anak dan keluarga adalah wajib dan termasuk dalam kategori daruriyyat (kepentingan). Peralatan-peralatan mewah hanya boleh dimiliki setelah memperoleh kediaman dengan sempurna.

Menikmati keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit berwarna-warni tidak salah dari segi pandangan Islam, tetapi hendaknya jangan melampaui batas-batas kesederhanaan, sehingga mengurangkan barang-barang keperluan hidup yang sepatutnya dimiliki anak-anak dan keluarga untuk kehidupan mereka.

Jika bunga yang berwarna-warni dalam pasu dan taman-taman harus dinikmati keindahannya, pokok-pokok yang indah segar harus dimiliki, sekalipun jika terpaksa mengeluarkan sedikit bayaran. Mengapa keindahan ayam serama, ikan emas dan burung pipit tidak boleh dinikmati.
Menyekat kebebasan burung dan ikan emas dalam sangkar tidak harus menjadi alasan pengharaman, kerana pokok-pokok bunga juga dikawal kebebasannya dalam pasu dan bekas-bekas kecil.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan: Bukan semua perkara yang menyenangkan hati itu dibenci Islam, bukan juga sesuatu yang disukai hati manusia itu buruk, tetapi dilarang mengambilnya jika syarak melarangnya kerana membawa kepada riak dan sombong. Insan memang sukakan sesuatu yang indah, suka supaya dilihat dirinya cantik, oleh itu mencari sesuatu yang disenangi jiwa tidak dilarang. Seseorang harus menyikat rambutnya dan tidak harus membiarnya kusut masai, menilik mukanya dalam cermin, membetulkan serbannya yang tidak cantik dilihat,memakai kain tebal di sebelah dalam dan memakai yang halus di sebelah luar supaya senang hati orang melihatnya (Jami' al-Ahkam, 7/97).


Berpandukan mukadimah ini, kita dapat menarik kesimpulan, iaituIslam tidak menentang sebarang perhiasan, perniagaan dan penggunaan barang-barang hiasan. Antara perhiasan termasuklah ayam serama, burungpipit dan ikan emas yang dibela untuk hiasan rumah.

Haiwan ini harus dibela, dijual dan diniagakan, tetapi hendaklah dengan syarat-syaratberikut:

1. Tidak bermaksud untuk berbangga dan bermegah-megah, sebagaimana adat orang mewah dan berada. Hukum pengambilan barang-barang hiasan itu bergantung kepada niat.
2. Jangan lekakan tanggungjawab kita kepada Allah seperti solat, tanggungjawab kepada keluarga, disebabkan oleh pembelaan haiwan dan sesuatu yang berupa hiasan.
3. Jangan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap haiwan yang dipelihara seperti memberinya makan, minum dan keselamatannya.

Dalam sebuah hadis yang sangat popular tentang penyeksaan terhadap haiwan, baginda rasulullah s.a.w. memberi amaran terhadap seorang wanita yang memelihara kucing, tetapi tidak memberinya makan minum dan penjagaannya, lalu ia dimasuk ke neraka atas kesalahan itu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Anas ibnMalik r.a. katanya: Baginda rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling baik akhlaknya, baginda selalu datang ke rumahku dan selalu bertanya adikku Umair. Pada suatu hari, baginda datang dan bertanya: Oh AbuUmair ke mana perginya burung kecil engkau? Dijawabnya, burung masih dalam peliharaannya.

Al-Damiru dalam kitabnya Hayat al-Haiwan menyatakan: Hadis di atas menjadi dalil harus memelihara burung dan berhibur dengannya. Berkata Abu al-Abbas al-Qurtubi: Membela burung terpaksa disekat kebebasannya dalam sangkar. Adapun menyeksa dan memain-mainkannya maka hukumnya haram, kerana nabi s.a.w. melarang menyeksa haiwan, kecuali kerana sembelih untuk dimakan sahaja.

Ibn Aqil al-Hanbali melarang menyekat burung dalam sangkar, kerana cara itu adalah suatu penyeksaan terhadapnya. Beliau mengambil dalilnyadaripada hadis Abu al-Dard' r.a. yang menyatakan: Pada hari kiamat akan datang burung-burung pipit, lalu membuat aduan kepada Allah, keranamanusia menyeksanya semasa di dunia dahulu.

Alasan ini dijawab oleh sesetengah ulama, iaitu hadis ini dituju kepada mereka yang menyeksa dan tidak memberinya makan dan minum.Al-Qaffal menyatakan, jika haiwan iaitu diberinya makan minum yang cukup, nescaya harus dibelanya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat al-Damiri yang mengharuskan bela burung, ayam dan ikan untuk hiasan, dengan syarat hendaklah dijaga dengan cukup makan minum dan keselamatannya. Wallah a'lam.